Wednesday, April 28, 2010

Kelantan Purbakala (Bahagian 2)-Kaitan dengan Ahlul bait di Nusantara

Sayyid Hussein Jamadil Kubra merupakan datuk kepada Wali Songo dan juga adik kepada Adi Putera (Guru Hang Tuah). Beliau adalah pemimpin (ketua) kepada Wali Tujuh. Darah keturunannya mengalir dalam keturunan Sultan Brunei dan kesultanan Kelantan sekarang. Sayyid Hussein Jamadil Kubra turut dikaitkan dengan pembinaan Masjid Kampung Laut (lokasi asal ialah di Kg. Laut,Tumpat sebelum dipindahkan ke Nilam Puri). Keturunan beliau dikatakan telah memakai gelaran Tengku, Nik,Tuan,Che dan Wan yang ada pada nama penduduk di Kelantan-Patani, Terengganu dan Kedah.
Sebetulnya Saiyid Hussein Jamadil Kubra anak dari seorang gabenor semasa pemerintahan Sultan Muhammad Tuglug (Kesultanan Delhi; India). Jika digalurkan salasilah keturunan akan bertemu dengan Saiyidina Hussein (cucu Rasulullah SAW) melalui keturunan Saiyid al-Alawiyah. Pernah berkuasa di Wilayah Deccan (Selatan India). Sampai di Kelantan kira-kira tahun 1349 Masihi bersama adiknya yang bernama Saiyid Thana’uddin atau dikenali juga sebagai Syekh Saman(anak murid Ibnu Hajar).

Keturunan nabi Muhammad SAW telah ditakdirkan merantau meninggalkan Kota Mekah untuk kerana mereka dizalimi, ditindas dan dibunuh iaitu bertepatan dengan hadis berikut: “Kami ahlul bait telah Allah SWT pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran sepeninggalanku kelak sehingga datangnya suatu kaum dari sebelah timur yang membawa bersama mereka panji-panji hitam ….“.berikut ialah salasilah keturunan Saiyid Hussein:
“Jamaluddin Al-Hussein (Sayyid Hussein Jamadil Kubra) ibni Ahmad Syah Jalal ibnui Abdullah ibnu Abdul Malik ibnu Alawi Amal Al Faqih ibni Muhammad Shahib Mirbath ibni Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammad ibni Alawi ibni Ubaidillah ibni Ahmad Muhajirulah ibnu Isa Al Rumi ibni Muhammad Naqib ibnu Ali al Uraidhi ibni Jaafar Sadiq ibni Muhammad Al Baqir ibni ALi Zainal Abidin ibni Al Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW”

Dalam usaha menyebarkan dakwah di Nusantara, beliau dikatakan telah menetap lama di negeri Kelantan. Pembinaan Masjid Kampung Laut juga dikaitkan dengan diri beliau. Bukit Panau (Tanah Merah, Kelantan) menjadi tempat beliau bertapa dan tempat berkumpulnya Wali Songo sebelum mereka meneruskan misi dakwah ke Tanah Jawa. Semasa berada di Kelantan beliau telah berkahwin dengan tiga puteri dari keluarga Diraja Empayar Chermin (satu lagi kerajaan purba yang pernah muncul di Kelantan). Kerajaan Chermin pada masa itu mempunyai sebuah ibu kota yang digelar ‘Jiddah’ iaitu terletak kira-kira 3 batu dari Bukit Panau. Kota itu di katakan telah terbenam ke dalam bumi dan ditenggelami air yang kini diberi nama Danau Tok Uban. Di danau yang ini dibina sebuah masjid terapung yang dibiayai sepenuhnya oleh Sultan Brunei Darussalam.
Dikatakan anak sulung beliau bernama Maulana Malik Ibrahim (Sunan Gresik) iaitu ketua Wali Songo merupakan hasil perkahwinannya dengan Puteri Linang Cahaya (adik kepada Cik Wan Kembang) Cik Wan Kembang adalah pemerintah kelantan yang tersohor pada suatu masa dahulu.Ternyata anak-anak beliau mengikut jejak langkahnya sebagai pendakwah islam. Salah seorang anak beliau telah dihantar ke Pulau Borneo sehingga telah dimasyhurkan menjadi Sultan Brunei dengan memakai gelaran Sultan Berkat. Mungkinkah ini jawapan kepada persoalan kenapa Sultan Brunei telah membina sebuah masjid yang besar lagi cantik di gigi Danau Tok Uban(Pasir Mas, Kelantan) yang terletak beberapa kilometer sahaja dari Bukit Panau terpencil jauh tersembunyi. Malah masih ramai orang Kelantan sendiri yang tidak tahu akan kewujudannya.
Adik beliau Saiyid Thanauddin menetap di Bukit Panau dan menjadikan tempat tersebut sebagai tempat pertapaannya. Dikatakan juga Hang Tuah pernah berguru di sini pada sekitar tahun 1400 masihi. Bukit Panau pada ketika itu boleh dihubungi melalui Sungai Kelantan yang mengalir di sebelahnya-Bukit Panau pula berfungsi sebagai rumah api atau panduan bagi pelaut antarabangsa kerana bentuknya yang unik seperti piramid. Ianya dapat dilihat jika berada di perairan Laut China Selatan. Sungai Kelantan yang lebar dan luas memudahkan keluar masuk kapal. Bukit Panau walaupun terletak di daerah Tanah Merah hanya terletak bersebelahan dengan Danau Tok Uban yang termasuk pula dalam daerah Pasir Mas dan dipinggir Danau itulah berdirinya Masjid yang dibina oleh Sultan Brunei.

Saturday, April 3, 2010

KELANTAN PURBAKALA (Bahagian 1)

Persoalan ini sering kali muncul dibenak pemikiran hamba setiap kali mengajar Sejarah tingkatan 1 iaitu tentang kerajaan maritim-Chih Tu. Menurut catatan I-Ching, Chih Tu bermaksud Tanah Merah. Diasaskan oleh Gautama pada abad ke- 6 Masihi. (Rujuk buku teks sejarah tingkatan 1 muka surat 39) Sudah wujudkah kerajaan Melaka pada ketika ini? Sudah tentu jawapannya belum wujud, bukan? Lihat pula peta pada halaman 39, kerajaan Chih Tu mungkin terletak di negeri Kelantan. Sistem pemerintahannya dikatakan mengikut corak kerajaan Srivijaya iaitu mempunyai pengaruh Hindu. Di manakah bukti-bukti peninggalan kerajaan Chih Tu? Kenapa dikatakan mempunyai corak yang sama dengan kerajaan Srivijaya? Inilah sejarah yang telah lesap daripada catatan sejarah. Bahkan dalam buku teks sejarah sekolah, bahagian sejarah yang ditekankan ialah pada zaman Melaka dan bagaimana Melaka dijajah Portugis. Kita diajar supaya menganggap bahawa sebelum kerajaan Melaka, Tanah Melayu adalah hutan belantara dan didiami oleh manusia yang tidak bertamadun. Buku teks sejarah sekolah ada menyebut tentang Chih Tu tetapi tiada penjelasan selanjutnya. Adakah ini bukti kebangsatan bangsa penjajah yang memadamkan sejarah kita?
Lima belas tahun dahulu Cikgu sejarah hamba pernah juga mengajarkan kepada hamba Chih Tu adalah sebuah kerajaan tua di Kelantan. Berikut adalah hasil tulisan saudara Wonbin. Hamba hanya mengenalinya sebagai seorang pengembara yang menelusuri sejarah melayu, gemar melawat makam-makam raja dan tempat bersejarah. Bukunya bertajuk “Bertualang ke Acheh.”
Dalam abad ke 5 masihi, sejarahwan China Shenyao (414-512) dalam Sung Shunya sudah mencatat nama Ho-lo-tan atau Kuo-lo-tan sebagai sebuah ibu kota di Semenanjung Tanah Melayu. Satu abad kemudian. Setengah-setengah sejarahwan percaya bahawa kerajaan Srivijaya Pertama (Sri Vijaya Mala) telah wujud di Kelantan dan berkembang ke Malayu, Sumatera kira-kira pada akhir abad ke tujuh. Sri Maharaja Jayanagar telah membangunkan sebuah ibu kota di Palembang (Sri Vijaya Ke 2). Kelantan diserahkan kepada Puteranya, Sri Maharaja DiRaja. Kemudian Kedua-dua kerajaan ini disatukan oleh Sanjaya (Jaya Shinha) cucu Jayanagar dalam satu empayar yang disebut oleh orang Cina, San-Fo-Tse (Tanah Sri Indah Sekebun bunga), iaitu dalam abad ke lapan Masihi (Nik Mohamed, 1984).




Kelantan, dari semasa ke semasa, dikunjungi para pedagang dari jauh dan dekat; dari Kepulauan Melayu, Siam, Kemboja, Campa, China, India, Parsi dan Arab. Bukti bahawa Kelantan itu berkuasa luas dan menjadi pusat dagangan ialah wang dinar yang terjumpa di kawasan kota Kubang Labu. Pada dinar itu tertera kata-kata dan angka Arab; " al Julus Kelantan 577" dan di sebelahnya; "Al-Mutawakkil" bertarikh 577 ialah sanat hijriah yang bersamaan tahun 1181 Masihi. Dalam Abad 17 pula Ibnu Batuta Seorang Pengembara Arab telah singgah di satu tempat yang bernama "Kilu Krai" (Kuala Kerai di Ulu Kelantan sekarang) dan bertemu dengan seorang raja perempuan yang bernama Urduja (Saad Shukri 1971). Baginda rupawan gagah perkasa dan beragama islam. dikatakan juga baginda boleh bertutur dalam bahasa Turki.


Seorang penulis Cina Chau Juo-Kua, mengatakan negeri Chi-Lan-Tan pada tahun 1222 adalah dibawah takluk kerajaan Srivijaya. Kemudian Syair Jawa Kuno Nagarakertagama karangan Prapance dalam tahun 1365 menyatakan bahawa Kelantan pada masa ini adalah sebahagian daripada Empayar Majapahit yang berpusat di Jawa Timur. Dalam tahun 1411, Kelantan diperintah oleh seorang raja yang bergelar Maharaja Kumara yang pernah mengirimkan ufti dan persembahan kepada Maharaja Cina (Rentse, 1934). Sejarah Melayu menjelaskan bahawa dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah di melaka, Kelantan telah ditaklukkan dan tiga orang Puteri Sultan Mansur Shah (1467-1521) dibawa ke Melaka. Seorang Puteri Onang Kening telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud dan sebagai hasil perkongsian ini lahirlah Raja Muzaffar yang menjadi Sultan Perak yang pertama.


Kelantan dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu, merupakan kawasan yang unik kerana berperanan sebagai pusat bagibeberapa kerajaan Melayu lama dan kawasan pergolakan beberapa dinasti DiRaja yang berhubungkait dengan kerajaan-kerajaan sekitarnya seperti Patani, Nakhon Si Thammarat, Siam, Kemboja, Champa di sebelah utara dan Terengganu, Pahang dan Johor di selatannya. Oleh yang demikian sebelum zaman Kelantan moden di bawah Long Yunus, Kelantan merupakan beberapa buah kawasan yang diperintah oleh beberapa dinasti DiRaja Melayu.


Bila Sultan Mansur Shah mangkat pada 1526 M (928H), maka putera baginda Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Gombak. Setelah baginda mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat baginda, iaitu Raja Ahmad ditabalkan menjadi sultan Kelantan pada 1684 M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad. Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara DiRaja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda kedua telah di kurniakan seorang puteri dinamakan Cik Wan Kembang.


Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589 M, sewaktu puteri baignda Cik Wan Kembang berusia 4 tahun, oleh sebab itu Raja Hussain dari Johor dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintahan Kelantan. Bila Raja Hussain mangkat pada 1610 M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabalkan menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan kira-kira 40 km kearah tengara Kuala Krai.


Pemerintahan Cik Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi mashur dan dikunjungi oleh ramai pedagang dari dalam dan luar negara, termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan Kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disayangi oleh baginda, iaitu persembahan daripada rakyat baginda yang tinggal di Gunung Ayam. Gambar kijang ini telah diterapkan diatas wang emas dan kemudiannya diabadikan pula sebagai sebahagian daripada lambang Kebesaran Negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini dengan megahnya.
Kerajaan Sriwijaya Awal: Indonesia atau Malaysia?


Kelantan adalah sebuah negeri diSemenanjung yang banyak menyimpan rahsia-rahsia sejarah. Kalau dikaji dari sejarah Kelantan purba sehinggalah Kelantan di zaman Long Yunus [Kelantan Moden] maka kita akan membuat satu konklusi bahawa Kelantan merupakan KUNCI pembukaan sejarah-sejarah di Asia Tenggara seterusnya memegang peranan penting dalam penyebaran berbagai agama dan kebudayaan yang mengaitkan negeri China, Korea, Jepun, Arab dan India. Ternyata bumi Kelantan adalah PUSAT segala-galanya.


Sebut sahaja nama-nama negeri atau pulau-pulau, maka Kelantan tetap dikaitkan walaupun ianya mempunyai nama yang sering berubah-ubah. Inilah yang menimbulkan kebingungan dan kekeliruan para ahli pengkaji sejarah dalam menentukan lokasi nama-nama tempat atau negeri sehingga berlaku percanggahan di antara satu sama lain.


Dua faktor yang menyebabkan peninggalan-peninggalan lama hilang dan tidak dapat d**esan lagi lokasinya ialah:


1-kerana dari sudut geografinya Kelantan merupakan sebuah negeri di Semenanjung yang sering dilanda banjir. Hakisan-hakisan yang sering berlaku banyak meruntuhkan dan menenggalamkan kesan-kesan sejarahnya ke dalam bumi dan sungai, dan;


2-peperangan-perangan yang berlaku samada oleh serangan-serangan dari luar atau perangan sendiri telah membawa bencana dan banyak membinasakan kesan-kesan purba. Contohnya satu tempat yang terdapat di hilir Kelantan sekarang kira-kira 3 batu di sebelah barat-daya Bukit Panau, ibu kota yang namanya YAWATOKI bagi negeri Kelantan dalam abad pertama sehingga beberapa abad kemudian dikatakan telah tenggelam ke dalam bumi [pada akhir abad yang ke 14 masehi sewaktu menjadi ibu-kota Empayar Chermin Jeddah]


Kota YAWATOKI dan BUKIT PANAU waktu itu dikatakan terletak di tepi pantai. YAWATOKI bererti 揟ITK JAWA� yang bermaksud, DARI KOTA INILAH POLITIK DAN KEBUDAYAAN [BANGSA] JAWA MULA BERKEMBANG KE SELURUH ASIA TENGGARA.


Ahli-ahli sejarah dan arkeologi Indonesia, ahli arkeologi dari Amerika dan Belanda masih tercari-cari pusat kerajaan SRIWIJAYA yang pertama kerana tiga buah kawasan utama iaitu di Bukit Siguntang di Palembang, Muara Takus dan Muara Jambi tidak ada kesan-kesan yang menunjukkan bukti bahawa kawasan-kawasan tersebut wujud bersama-sama kerajaan SRIWIJAYA di peringkat awal.


Prasasti-prasasti [batu bersurat] yang dijumpai tidak dapat menunjukkan bahawa Palembang pusat SRIWIJAYA di awal abad 7 Masehi. Prasasti Kedudukan Bukit di Palembang yang paling tua tarikhnya [638Masehi] dan paling penting dalam konteks kajian untuk mencari lokasi pusat SRIWIJAYA yang awal juga tidak menemukan bukti-bukti yang jelas dan masih disangsikan.


Bronson seorang ahli arkeologi dari Amerika yang telah mengemuka beberapa hipotesis hanya dapat menjumpai kesan-kesan peninggalan sejarah terutama di Bukit Siguntang dan Palembang yang menunjukkan bekas-bekas permukiman manusia dan penemuan arca dan seramik yang berasal dari China dan Thailand adalah pada abad ke 14 hingga 17 Masehi.


Beliau kemudian mengemukakan pendapatnya bahawa apa yang ditemui oleh para arkeologi Indonesia adalah penemuan seramik dan arca perbakala peninggalan MAJAPAHIT dan SINGGOSARI serta KESULTANAN PALEMBANG.