Wednesday, April 28, 2010

Kelantan Purbakala (Bahagian 2)-Kaitan dengan Ahlul bait di Nusantara

Sayyid Hussein Jamadil Kubra merupakan datuk kepada Wali Songo dan juga adik kepada Adi Putera (Guru Hang Tuah). Beliau adalah pemimpin (ketua) kepada Wali Tujuh. Darah keturunannya mengalir dalam keturunan Sultan Brunei dan kesultanan Kelantan sekarang. Sayyid Hussein Jamadil Kubra turut dikaitkan dengan pembinaan Masjid Kampung Laut (lokasi asal ialah di Kg. Laut,Tumpat sebelum dipindahkan ke Nilam Puri). Keturunan beliau dikatakan telah memakai gelaran Tengku, Nik,Tuan,Che dan Wan yang ada pada nama penduduk di Kelantan-Patani, Terengganu dan Kedah.
Sebetulnya Saiyid Hussein Jamadil Kubra anak dari seorang gabenor semasa pemerintahan Sultan Muhammad Tuglug (Kesultanan Delhi; India). Jika digalurkan salasilah keturunan akan bertemu dengan Saiyidina Hussein (cucu Rasulullah SAW) melalui keturunan Saiyid al-Alawiyah. Pernah berkuasa di Wilayah Deccan (Selatan India). Sampai di Kelantan kira-kira tahun 1349 Masihi bersama adiknya yang bernama Saiyid Thana’uddin atau dikenali juga sebagai Syekh Saman(anak murid Ibnu Hajar).

Keturunan nabi Muhammad SAW telah ditakdirkan merantau meninggalkan Kota Mekah untuk kerana mereka dizalimi, ditindas dan dibunuh iaitu bertepatan dengan hadis berikut: “Kami ahlul bait telah Allah SWT pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran sepeninggalanku kelak sehingga datangnya suatu kaum dari sebelah timur yang membawa bersama mereka panji-panji hitam ….“.berikut ialah salasilah keturunan Saiyid Hussein:
“Jamaluddin Al-Hussein (Sayyid Hussein Jamadil Kubra) ibni Ahmad Syah Jalal ibnui Abdullah ibnu Abdul Malik ibnu Alawi Amal Al Faqih ibni Muhammad Shahib Mirbath ibni Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammad ibni Alawi ibni Ubaidillah ibni Ahmad Muhajirulah ibnu Isa Al Rumi ibni Muhammad Naqib ibnu Ali al Uraidhi ibni Jaafar Sadiq ibni Muhammad Al Baqir ibni ALi Zainal Abidin ibni Al Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW”

Dalam usaha menyebarkan dakwah di Nusantara, beliau dikatakan telah menetap lama di negeri Kelantan. Pembinaan Masjid Kampung Laut juga dikaitkan dengan diri beliau. Bukit Panau (Tanah Merah, Kelantan) menjadi tempat beliau bertapa dan tempat berkumpulnya Wali Songo sebelum mereka meneruskan misi dakwah ke Tanah Jawa. Semasa berada di Kelantan beliau telah berkahwin dengan tiga puteri dari keluarga Diraja Empayar Chermin (satu lagi kerajaan purba yang pernah muncul di Kelantan). Kerajaan Chermin pada masa itu mempunyai sebuah ibu kota yang digelar ‘Jiddah’ iaitu terletak kira-kira 3 batu dari Bukit Panau. Kota itu di katakan telah terbenam ke dalam bumi dan ditenggelami air yang kini diberi nama Danau Tok Uban. Di danau yang ini dibina sebuah masjid terapung yang dibiayai sepenuhnya oleh Sultan Brunei Darussalam.
Dikatakan anak sulung beliau bernama Maulana Malik Ibrahim (Sunan Gresik) iaitu ketua Wali Songo merupakan hasil perkahwinannya dengan Puteri Linang Cahaya (adik kepada Cik Wan Kembang) Cik Wan Kembang adalah pemerintah kelantan yang tersohor pada suatu masa dahulu.Ternyata anak-anak beliau mengikut jejak langkahnya sebagai pendakwah islam. Salah seorang anak beliau telah dihantar ke Pulau Borneo sehingga telah dimasyhurkan menjadi Sultan Brunei dengan memakai gelaran Sultan Berkat. Mungkinkah ini jawapan kepada persoalan kenapa Sultan Brunei telah membina sebuah masjid yang besar lagi cantik di gigi Danau Tok Uban(Pasir Mas, Kelantan) yang terletak beberapa kilometer sahaja dari Bukit Panau terpencil jauh tersembunyi. Malah masih ramai orang Kelantan sendiri yang tidak tahu akan kewujudannya.
Adik beliau Saiyid Thanauddin menetap di Bukit Panau dan menjadikan tempat tersebut sebagai tempat pertapaannya. Dikatakan juga Hang Tuah pernah berguru di sini pada sekitar tahun 1400 masihi. Bukit Panau pada ketika itu boleh dihubungi melalui Sungai Kelantan yang mengalir di sebelahnya-Bukit Panau pula berfungsi sebagai rumah api atau panduan bagi pelaut antarabangsa kerana bentuknya yang unik seperti piramid. Ianya dapat dilihat jika berada di perairan Laut China Selatan. Sungai Kelantan yang lebar dan luas memudahkan keluar masuk kapal. Bukit Panau walaupun terletak di daerah Tanah Merah hanya terletak bersebelahan dengan Danau Tok Uban yang termasuk pula dalam daerah Pasir Mas dan dipinggir Danau itulah berdirinya Masjid yang dibina oleh Sultan Brunei.

No comments:

Post a Comment